Hat Yai merupakan salah satu destinasi pelancongan yang amat digemari oleh rakyat Malaysia. Setiap kali cuti umum dan cuti sekolah, ramai orang, termasuk keluarga dan pengembara berkumpulan, akan melancong ke Hat Yai untuk mencuba makanan jalanannya yang sedap, menikmati suasana dan pemandangan yang menakjubkan, dan juga merasai pengalaman membeli-belah yang unik. Dari patung-patung besar dan seni bina yang indah ke tasik yang cantik serta pasar yang sibuk, terdapat begitu banyak yang dapat dilihat dan dilakukan di Hat Yai yang pasti akan memuaskan hati setiap penggemar kembara di luar sana.
Memandangkan kami baru saja menamatkan semester terakhir, saya dan rakan-rakan bercadang untuk mengembara ke Hat Yai sebagai pelancongan pra-graduasi kami. Kami ingin mengakhiri memori kehidupan kami sebagai pelajar dengan kenangan yang terindah! Sebelum pergi, kami mencari maklumat terlebih dahulu dan mendapati bahawa menaiki bas dari Kuala Lumpur ke Hat Yai lebih menjimatkan kos apabila dibandingkan dengan kos menaiki kapal terbang. Oleh itu, kami bersetuju untuk menaiki bas ke Hat Yai.
Beli Tiket Online Bas dari Kuala Lumpur ke Hat Yai
Dengan adanya teknologi terkini yang inovatif, pembelian tiket bas sekarang menjadi lebih mudah. Kami menempah tiket bas kami melalui BusOnlineTicket.com, sebuah portal tempahan bas sehentian di Malaysia. Melalui laman web ini, adalah mudah untuk kami membandingkan harga tiket, waktu perlepasan dan jenis-jenis bas yang ditawarkan oleh pelbagai pengusaha bas yang berlainan.
Setelah menyelidik, kami membuat keputusan untuk membeli tiket bas Alisan Golden Coach yang dijadualkan untuk berlepas pada pukul 11:00pm. Alisan ialah sebuah syarikat bas ekspres di Malaysia, dan ia juga terkenal dengan laluan Kuala Lumpur ke Hat Yai. Harga tiket adalah RM70.00 sehala untuk setiap penumpang, namun harga turut bergantung pada jenis bas yang anda pilih. Selepas kami membuat bayaran, kami menerima e-mel pengesahan tempahan daripada BusOnlineTicket.
(*Sila maklum bahawa kami dinasihatkan untuk mencetak e-mel pengesahan tempahan untuk mendapatkan tiket pas masuk sebelum menaiki bas.)
Tempat Perlepasan – Terminal Bersepadu Selatan (TBS)
Alisan Golden Coach menawarkan beberapa tempat perlepasan termasuk Desa Complex Kepong, Terminal Bas Hentian Duta, dan TBS. Namun begitu, kami memilih untuk berlepas dari TBS memandangkan ia tempat perlepasan yang paling mudah bagi kami.
Sebaik saja kami tiba di TBS, kami bergerak ke kaunter tiket untuk mendapatkan pas masuk bas. Keseluruhan prosesnya amat senang. Kami hanya perlu menyerahkan e-mel pengesahan tempahan yang telah dicetak kepada petugas. Setelah disahkan, petugas tersebut kemudian memberikan kami pas masuk yang diperlukan untuk menaiki bas. Senang bukan?
Sambil membawa pas masuk bas, kami bergerak ke dewan perlepasan untuk menunggu bas. Kami berasa agak selesa di dewan tersebut yang serba luas dan berhawa dingin. Bas tiba tepat pada masanya dan kami beratur untuk mengesahkan tiket, sama seperti proses pengesahan tiket untuk menaiki kapal terbang, XD.
Bas Alisan Golden Coach
Tengok! Bas Alisan ini mempunyai reka bentuk luaran berwarna merah jambu atau pink, ia kelihatan begitu manis dan comel. Kami meletakkan bagasi kami di ruang bagasi dan menaiki bas dengan selamat. Kami terkejut dan gembira apabila mendapati Alisan turut menyediakan selimut untuk setiap penumpang. Ini berguna kerana cuaca boleh menjadi sangat sejuk pada waktu malam.
(Nota: Anda juga dinasihatkan untuk membawa baju sejuk atau jaket terutamanya jika anda menaiki bas malam.)
Seperti bas ekspres biasa, Alisan dilengkapi dengan penghawa dingin dan tempat duduk luas. Tambahan lagi, bas ini juga menyediakan port USB, plag soket dan WiFi untuk kegunaan semua penumpang. Oleh itu, kami boleh melayari Internet dan kekal berhubung semasa dalam perjalanan ke Hat Yai. Mudahnya!
Setelah semua penumpang telah menaiki bas, bas akhirnya berlepas dari TBS. Yeah! Kami mula berasa teruja untuk mengembara ke Hat Yai!
Tempat Mengambil Penumpang Kedua di Terminal Bas Hentian Duta
Sebelum menuju ke Hat Yai, bas membuat persinggahan di Terminal Bas Hentian Duta untuk mengambil penumpang yang selebihnya. Ia tidak mengambil masa yang lama dan pada pukul 11:30pm, bas meninggalkan terminal tersebut dan akhirnya bergerak menuju ke Hat Yai.
Hentian Rehat Sebelum Pusat Pemeriksaan Bukit Kayu Hitam
Selepas bertolak dari Terminal Bas Hentian Duta, kami mengembara selama 6 jam sebelum tiba di sebuah hentian rehat. Di hentian rehat tersebut, para penumpang boleh ke tandas dan menjamah makanan ringan sebelum bas menyambung perjalanan ke Hat Yai. Maafkan kami kerana tidak mengambil gambar hentian rehat ini kerana kami tidur dengan nyenyak sekali sepanjang perjalanan.
Selain itu, pemandu bas mengutip pasport kami dan membantu kami mengisi Kad Kedatangan/Perlepasan Imigresen Thailand. Bas meneruskan perjalanan selepas pemandu memulangkan pasport dan Kad Kedatangan/Perlepasan Imigresen Thailand kepada semua penumpang.
Kelulusan Imigresen di Pusat Pemeriksaan Kastam Bukit Kayu Hitam dan Sadao
Bas mengambil masa satu jam untuk tiba di Pusat Pemeriksaan Bukit Kayu Hitam pada pukul 6:30am. Semua penumpang perlu turun dari bas dan beratur untuk kelulusan imigresen. Kami terkejut melihat begitu ramai orang pada seawal 6:30 pagi, walaupun perjalanan kami itu bukanlah sewaktu cuti sekolah atau cuti umum. Proses kelulusan imigresen mengambil masa 15-20 minit.
Kami kemudian menaiki bas dan menuju ke Pusat Pemeriksaan Sadao. Sebaik saja tiba di sana, kami ke kaunter imigresen untuk proses kelulusan imigresen yang kedua. Setelah melalui keseluruhan proses tersebut, kami pergi ke tandas yang mengenakan bayaran RM1.00/seorang atau THB5/seorang. Sudah tentu lebih jimat jika dibayar dengan Thai baht yang bersamaan dengan RM0.65sen berdasarkan kadar pertukaran pada ketika itu.
Nota: Para penumpang dinasihatkan untuk sentiasa membawa barangan bersama anda ketika proses kelulusan imigresen dijalankan kerana pihak pengusaha bas tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan bagasi atau harta benda anda.
Tempat Ketibaan – Pejabat Alisan Golden Coach, Hat Yai
Selepas semua penumpang menaiki bas semula, kami meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir kami – Hat Yai. Apabila kami memasuki bandar, kami mula menikmati pemandangan jalan raya dan kota Hat Yai pada awal pagi. Perjalanan dari kastam ke pejabat Alisan Golden Coach di Hat Yai mengambil masa setengah jam sahaja. Yeah! Akhirnya, kami tiba di Hat Yai, dan keseluruhan perjalanan dari KL ke Hat Yai mengambil masa 9 jam.
Pelancongan Kami di Hat Yai
Kami berasa sangat lapar selepas perjalanan yang begitu panjang itu, jadi kami bercadang untuk bersarapan di 7-Eleven. Tahukah anda yang 7-Eleven merupakan salah satu tempat yang mesti anda lawati di Thailand? Berbanding dengan di Malaysia, kedai 7-Eleven di Thailand mempunyai lebih banyak variasi makanan pada harga yang berpatutan. Kami sangat teruja untuk membeli-belah di 7-Eleven Hat Yai, dan kami membeli sarapan dari kedai itu juga.
Selepas bersarapan, kami menaiki tuk tuk untuk pergi ke Hat Yai Municipal Park atau Taman Perbandaran Hat Yai. Di sini kami sertakan beberapa gambar!
Mengagumkan sungguh patung gergasi Buddha di sana! Selain Taman Perbandaran Hat Yai, terdapat banyak lagi tarikan dan tempat yang mesti anda lawati di Hat Yai seperti pusat beli-belah Central Festival, Asean Night Bazaar (Pasar Malam Asean), Supermarket Makro, Pasar Terapung Hat Yai, Pasar Malam Greenway, dan lain-lain lagi. Saya dan rakan-rakan berasa sangat seronok melancong di Hat Yai, dan kami berharap untuk ke sana lagi suatu hari nanti. Ha, mungkin kami boleh merancang pelancongan untuk reunion kami pula? Jumpa lagi!
Berminat untuk ke Hat Yai untuk pelancongan akan datang? Anda boleh melayari BusOnlineTicket.com untuk menempah tiket bas pada bila-bila masa dan di mana jua anda berada.
Tempah Tiket Bas Online dari Kuala Lumpur ke Hat Yai »